Tuesday, March 17, 2009

Kursus Jatidiri Kepimpinan WADIRA Terengganu



“Tiap - tiap seorang dari kamu adalah pemimpin dan akan diminta bertanggungjawab kepada orang-orang yang berada di bawah jagaannya. Seorang ketua negara bertanggungjawab ke atas rakyatnya dan akan disoal oleh Allah akan kepimpinannya. Seorang isteri bertanggungjawab di rumahnya dan akan disoal berkenaan tanggungjawabnya, seorang anak bertanggungjawab ke atas harta bapanya dan dia juga akan disoal, begitu juga seorang hamba atau yang bekerja dengan majikan, bertanggungjawab kepada majikannya, setiap kamu adalah pemimpin, dan bertanggungjawab kepada apa yang dipimpinnya”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Satu kursus kepimpinan telah diadakan pada 11 - 13 Mac 2009. Alhamdulillah program yang dirancang berlangsung dengan jayanya. Kursus Jatidiri Kepimpinan Wadira FELCRA Bhd Wilayah Timur ini dihadiri oleh 32 orang ahli WADIRA Terengganu yang mana mereka ini terdiri dari lingkungan pelbagai peringkat umur seawalnya 20 tahun hingga yang paling veteran berusia 77 tahun.

Para peserta yang hadir diberi pendedahan berdasarkan modul Kursus Kepimpinan sedia ada di PLFSP yang mana ia telah ditambah baik dari masa ke semasa. Jurulatih Utama yang menjadi nadi penggerak kursus ini ialah En. Rohaizat di samping dibantu oleh Penyelaras Program (Siti Haliza) dan Fasilitator yang lain (Jawyah, Ekin, Misha dan Azie). Kelancaran program ini juga dibantu oleh unit domestik, sajian dan unit aklu.

Kursus ini dikendalikan dengan medium paparan multimedia dan lagu latar untuk menarik perhatian peserta dalam menumpukan perjalanan kursus seperti yang dirancang. Tujuan utama (objektif) kursus ini ialah melahirkan pemimpin yang mempunyai jatidiri berwibawa, bertanggungjawab dan memupuk motivasi padu ke arah pemimpin dinamik.

Peserta Kursus Jatidiri Kepimpinan ini sangat bersemangat dan memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang sesi AMLAK, AKLU, AKTIF dan Refleksi. Antara aktiviti yang dilakukan oleh peserta sepanjang kursus berlangsung ialah :-

1) Xplorace - Peserta meredah paya dan membuat 'river crossing' di samping menyelesaikan task di check point tertentu. Task terakhir memerlukan peserta menyeberangi kolam dengan cara bersampan.

2) Spiritual Journey - sesi Alfa.

3) Paintball Wargames - 'Character Building'.

4) Senaman J-Robic, aktiviti penyegaran dan games.

5) Kejutan meraikan Hari Lahir seorang peserta kursus di akhir kursus.

6) Peserta mengakhiri kursus dengan membuat lawatan ke Kompleks Bersejarah Pasir Salak.

~ Para peserta (32 orang), Jurulatih & Fasilitator ~


~ Sesi Paintball Wargames : "Character Building" ~


~ Taklimat oleh Marshal sebelum games dimulakan ~


Monday, March 16, 2009

Maulidur Rasul 1430H (WAHDAH PEMANGKIN KHAIRA UMMAH)



Kita kini sedang menyambut ketibaan bulan Rabiul Awwal yang telah mencatatkan peristiwa penting dalam sejarah Islam. Di mana apabila tibanya bulan Rabi’ulawwal setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia sama-sama mengingati tarikh kelahiran junjungan besar nabi Muhammad S.A.W. Kelahiran dan kebangkitan junjungan besar nabi Muhammad S.A.W sebagai rasul akhir zaman telah membawa sinar bahagia kepada manusia dan rahmat kepada seluruh alam yang selama ini tenggelam dalam kejahilan dan hidup bermusuhan antara satu sama lain.

Yang kuat memerintah yang tidak berdaya, yang kaya memeras yang miskin, yang gagah menindas yang lemah, undang-undang terletak pada pandangan nafsu dan bukannya berdasarkan wahyu sehingga hidup manusia bercelaru hilang pedoman dan tempat rujukan untuk berlindung.

Sejarah telah mencatatkan kisah perjalanan pahit maung kehidupan Rasulullah S.A.W. di dalam tugasnya menyebarkan dakwah Islam yang mulia ini, baginda pernah dikeji, dihina, diugut, dibaling dengan batu sehingga berdarah, dipulau kaum keluarganya namun untuk meninggalkan amanah Allah ini tidak sekali-kali terlintas di dalam jiwanya.Justeru, Rasulullah S.A.W. yang diutuskan kepada umat manusia sebagai penghulu segala rasul, wajib kita sama-sama mentaatinya, dengan erti kata melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala tegahannya. Mudah-mudahan kita beroleh kecemerlangan dan kegemilangan hidup di dunia dan di akhirat.

Firman Allah dalam surah al-Hasyr ayat 7:

Maksudnya : “Dan apa jua suruhan yang di bawa oleh Rasulullah kepada kamu maka ambillah akan ia serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat azab siksanya (bagi orang-orang yang melanggar perintahnya)”.

Melalui cacatan sejarah juga kita dapati bagaimana kehidupan Rasulullulah S.A.W. yang sentiasa dijaga dan dipelihara oleh Allah S.W.T. bagi menjamin dakwahnya diterima oleh masyarakat. Walaupun baginda hidup dalam suasana masyarakat jahiliah yang sesat bertuhankan nafsu, namun baginda tidak terlibat dengan penyembahan berhala, minum arak, berjudi, malah tidak pernah berhibur dengan hiburan yang melalaikan. Begitu juga, baginda bersifat amanah sehingga digelar "al-Amin" serta sentiasa menjaga pergaulan dan percakapannya.

Baginda Raslulllah S.A.W. turut dididik dengan ujian bagi mematangkan fikiran dan tindakannya, di mana sejak kecil lagi baginda menjadi yatim piatu dengan kewafatan ayahanda dan bonda yang tercinta. Penjagaan baginda yang yatim piatu diambil alih oleh datuk kesayangannya Abdul Mutalib, tetapi Allah S.W.T. sekali lagi menguji baginda dengan kematian datuknya ketika baginda berusia lapan tahun dan penjagaan baginda berpindah kepada bapa saudaranya Abu Talib. Cuba kita bayangkan?. Bagaimana nabi yang bakal melaksanakan tugas dakwah Islam yang begitu besar dan berat telah diuji dengan kehilangan ahli keluarga ketika usianya yang masih kecil. Tetapi Allah maha penentu segala-galanya, di mana setiap sesuatu yang berlaku mempunyai hikmatnya yang tersendiri. Ujian kewafatan ahli keluarga tercinta telah mendidik baginda sebagai seorang yang cepat matang dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain.

Bersempena sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun, marilah kita sama-sama menghayati dan mencontohi ketabahan serta kesungguhan baginda dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan Islam merentasi dunia timur dan barat.

Sebagai seorang pemimpin agong baginda Rasulullah S.A.W. mempunyai pandangan jauh dan akal fikiran yang tajam serta semangat juang yang tinggi, kekuatan rohani yang mendalam, tabah dan keberanian menempuh berbagai cabaran dan dugaan yang perlu kita contohi, sama ada di waktu penghijrahannya dari kota Makkah ke kota Madinah atau selepasnya. Oleh yang demikian, umat Islam pada hari ini hendaklah bangun membina kekuatan rohani seimbang dengan kekuatan akal dan jasmani seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah S.A.W. dalam menyebar luas syiar Islam. Ini kerana setiap umat Islam pada hari ini adalah bertanggungjawab meninggikan dan mempertahankan agama Allah.

Di antara ciri-ciri dan sikap terpuji baginda Rasulullah S.A.W. yang perlu dicontohi :

1.
Sebagai Ketua Keluarga Yang Mulia Dan Bertanggungjawab

Dalam kesibukan baginda sebagai pemimpin negara, sebagai pendakwah, ketua tentera dan pelbagai urusan lainya tetapi baginda tidak pernah melupakan soal membina keluarga yang harmoni. Bagaimana baginda menunjukkan kaedah yang berkesan untuk melahirkan sebuah rumahtangga Islam sejati yang berjaya melahirkan generasi Islam yang bertakwa.

Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Tahrim ayat 6 :

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”


2. Sebagai Pemimpin Yang Bijaksana

Rasulullah S.A.W. merupakan seorang pemimpin yang ikhlas dalam memperjuangkan dan menegakkan syiar Islam. Peribadi baginda yang luhur, tidak ingin dipuji, tidak mementingkan diri sendiri, tidak mementingkan kebendaan serta mengejar pangkat dalam perjuangannya. Akhirnya baginda telah berjaya membentuk peribadi, masyarakat dan negara Islam yang unggul dan terbilang. Amat sesuai baginda menjadi contoh teladan yang paling baik.

Sabda baginda :" اِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاَقِ

"Maksudnya: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia ".


3. Memiliki Akhlak Yang Sempurna

Baginda diutuskan bersama akhlak yang sempurna sebagai asas panduan kepada setiap lapisan masyarakat. Hal ini dinyatakan oleh Allah S.W.T. di dalam al-Ahzab ayat 21 :

Maksudnya : “Demi sesungguhnya! Adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

Seterusnya baginda terkenal dengan ketegasan dalam perjuangan mempertahan agama Allah tanpa rasa takut dan menolak sebarang bentuk tawaran keduniaan. Seandainya sifat seumpama ini dapat kita laksanakan pastinya Islam bertambah maju dan setiasa disegani kawan mahupun lawan.

Dalam membina masyarakat yang harmoni pula baginda menggariskan beberapa panduan antaranya menanamkan sifat berkasih sayang, tolong menolong, menjaga hak kejiranan dan sebagainya demi menjaga dan membentuk masyarakat sejahtera.

Inilah antara sifat-sifat dan ketabahan baginda Rasulullah S.A.W. di dalam menegakkan agama yang benar dan diredhai Allah S.W.T. Maka bersempena sambutan Maulidur Rasul yang kita sambut pada tahun ini hendaklah dilakukan dengan hati yang benar-benar insaf dan ikhlas serta berbeza dengan cara sambutan Maulidur Rasul yang pernah dilakukan oleh Abu Lahab yang terlalu gembira menyambut kelahiran baginda dengan sanggup memerdekakan hamba kesayangannya serta menyembelih 100 ekor unta tetapi akhirnya apabila baginda menyatakan tentang kenabiannya serta dakwah Islam yang dibawa oleh baginda maka dialah orang paling keras menentang baginda sehingga kisahnya dirakamkan dalam surah al-Masad.

Oleh itu, kita perlu sedar dan insaf sambutan yang kita raikan mestilah selari dengan apa yang diucapkan, jangan kita bersungguh-sungguh memuji akhlak Rasulullah S.A.W. Tetapi akhlak remaja kita terbiar semakin hari semakin liar, tidak terkawal dan terlalu mementingkan hiburan sehingga mengabaikan tuntutan agama. Begitu juga, jangan kita hanya memuji baginda yang mengharamkan arak, judi dan riba sedangkan di sekeliling kita arak, penagihan dadah, pil khayal, ubat batuk dan segala macam yang memabukkan semakin manjadi-jadi seakan-akan tidak ada penghujungnya.

اعوذ بالله من الشيطان الرجيم

Maksudnya : “Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (arab) yang ummyyin, seorang rasul (nabi Muhammad) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaannya), dan membersihkan mereka (daripada iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hokum-hukum syari’at). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”
( Surah al-Jumuah ayat : 2 )

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ
وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْن

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Monday, February 23, 2009

Laporan Akhbar : Sinar Harian 23/02/2009


Alhamdulillah English Camp UiTM Perak - FELCRA telah dilaksanakan dengan jayanya. Kem ini disertai oleh 200 pelajar Tahun 5 dan 6 daripada 5 buah sekolah kebangsaan di sekitar daerah Perak Tengah. Tonggak utama kem ini terdiri daripada kakitangan PLFSP, pelajar diploma dan tenaga pensyarah daripada Akademi Pengajian Bahasa UiTM Perak.


Tuesday, February 3, 2009

CSR : Corporate Social Responsibility



Satu program English Camp akan dilaksanakan di PLFSP pada 14 dan 15/02/2009. Program ini merupakan CSR yang dianjurkan bersama oleh Pusat Latihan FELCRA Seberang Perak dengan Akademi Pengajian Bahasa UiTM Perak (Kampus Seri Iskandar) kepada komuniti luar bandar khususnya di negeri Perak Darul Ridzuan.

Objektif utama English Camp ini dianjurkan bertujuan untuk melahirkan kesedaran pentingnya mata pelajaran Bahasa Inggeris kepada pelajar. Ia juga menerangkan bagaimana caranya untuk menarik minat pelajar kepada subjek ini seterusnya memberikan tips - tips untuk mengusasai Bahasa Inggeris. Selain itu, program ini dapat memberikan penghayatan yang lebih bermakna kepada staf dan warga PLFSP / FTC untuk terlibat dalam program - program komuniti yang menterjemahkan nilai -nilai FTC iaitu SPEECH (solidarity, passion, equality, endurance, caring & honesty).

English Camp ini akan diterajui bersama oleh warga kerja PLFSP, 15 orang pensyarah dan 50 orang pelajar Akademi Pengajian Bahasa UiTM Perak kepada 200 orang pelajar Tahun 5 dan Tahun 6 daripada lima buah Sekolah Kebangsaan yang terpilih.

Monday, February 2, 2009

Induksi Staf Baru


Selamat datang kepada 4 orang staf baru PLFSP yang telah melapor diri pada 02/02/2009. Semoga kita semua warga PLFSP akan bersama - sama merealisasikan visi dan misi PLFSP dengan jayanya.

++

Hari ini 4 orang staf baru melapor diri sebagai Pembantu Eksekutif Operasi (Pelatih) menjalani induksi untuk memahami visi dan misi PLFSP, beradaptasi suasana bekerja, peraturan - peraturan dan seterusnya bidang tugas yang akan dilaksanakan di PLFSP.
Staf tersebut ialah En. Sabri Bahaudin, En. Mohd Najib Abd Taib, Cik Nor Hamisah Sapardi dan Puan Aziah Arshad.

Induksi dimulakan pada jam 10.30 pagi, di mana staf baru diperkenalkan kepada kesemua warga kerja PLFSP seramai 19 orang. Sesi taaruf dikendalikan oleh En. Malek (Ketua Unit Pembangunan Latihan / IT).

Program Induksi ini dilanjutkan pada jam 2.30 petang dengan penerangan visi, misi dan PLFSP / FTC yang mana ia diterangkan oleh En. Roshahrin. Seterusnya Ketua Unit Pentadbiran & Kewangan (Cik Siti Haliza) menerangkan hal ehwal pentadbiran, sumber manusia dan bidang tugas kepada staf terbabit.

Program berakhir dengan aktiviti memanah (archery) di padang PLFSP yang mana ia bertujuan untuk mewujudkan kebersamaan warga kerja PLFSP dengan staf baru yang berkhidmat di PLFSP.

Tentang PLFSP