Wednesday, September 23, 2009

PERUTUSAN AIDIL FITRI 1430 H

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh,

Syukur ke hadrat Allah swt kerana kita berjaya menempuh bulan Ramadan al-Mubarak dengan penuh ketaatan dan ketekunan. Tiadalah hadiah kejayaan yang terlebih besar dan istimewa dari kejayaan memperoleh status takwa seperti yang dinyatakan oleh Allah,

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu dari kamu, supaya kamu bertakwa."
Al-Baqarah: 183

Ketakwaan ini akan terus membawa kita terus istiqamah dalam beramal ibadah kepada Allah swt seterusnya menjauhkan diri kita dari melakukan kemaksiatan dan kemungkaran di atas muka bumi Allah swt. Itulah tanda kejayaan kita memasuki Universiti Ramadhan 1430H, yang telah meninggalkan kita. Semoga kita akan kembali bertugas selepas ini dengan semangat dan azam baru ke arah mencapai mardatillah.

Berakhirnya Ramadhan, Syawal pula mengunjung tiba. Aidil Fitri adalah hari kebesaran kurniaan Allah SWT setelah kita menunaikan ibadat puasa dalam masa sebulan. Islam menganjurkan kita memuji nama Allah apabila menjelangnya Syawal, memanjatkan rasa syukur kerana berjaya melalui ujian besar menghadapi Ramadhan serta bersedih kerana kita sudah terlepas daripada Ramadhan, bulan yang penuh rahmat.

Dalam kegembiraan kita menyambut Aidil Fitri, jangan kita melupakan sahabat seagama kita yang berada dalam kesusahan, kesakitan, menderita mempertahankan negara seperti di Palestin dan diseluruh dunia.Marilah kita mendoakan kekuatan jiwa dan hati mereka untuk terus berjuang kerana meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini.

Akhir sekali, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin, kepada seluruh muslimin muslimat khususnya warga Pusat Latihan FELCRA Seberang Perak dan FELCRA Training & Consultancy. Semoga berjumpa lagi selepas bercuti hari raya, Insya-Allah.

Semoga Allah swt merahmati kita semua.
Sekian, terima kasih.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillah il-hamd.



ROHAIZAT BIN AHMAD
PENGURUS PEMBANGUNAN BISNES/
KNOWLEDGE FACILITATOR FTC
22 SEPTEMBER 2009/2 SYAWAL 1430 H
KAMUNTING, PERAK DARUL RIDZUAN.

Tentang PLFSP