Thursday, March 26, 2009

Program Kampung Angkat FELCRA Berhad Seberang Perak Dengan Kerjasama Unit Pembahagian Pusaka



Pada 24/03/2009 (Selasa) telah diadakan satu program khas di antara Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Perak bersama FELCRA Berhad Wilayah Perak dengan kehadiran peserta seramai 200 orang. Para peserta terdiri daripada waris - waris yang masih belum menyelesaikan proses bicara kuasa berkenaan pembahagian harta pusaka. Terdapat waris yang masih dibelenggu masalah warisan harta pusaka yang telah berlanjutan hampir 30 tahun.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi maklumat dan kaedah yang bersesuaian bagi membantu waris supaya boleh menyelesaikan masalah pembahagian harta pusaka.


INFO :

Harta Pusaka Kecil


Tafsiran yang diberikan dibawah seksyen 3(2) Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian)1955 menerangkan harta pusaka kecil sebagai harta peninggalan simati mengandungi kesemuanya atau sebahagiannya adalah harta tak alih terletak dimana-mana negeri dan jumlah nilai keseluruhannya tidak melebihi RM 600,000 pada tarikh permohonan dibuat. Tanpa terikat kepada batasan nilai yang dinyatakan, sebarang harta simati orang-orang bukan Islam yang mengandungi wasiat dibawah Ordinan Wasiat No. 38 Tahun 1959 bukan lagi ditakrifkan sebagai pusaka kecil. Ia dianggap sebagai pusaka besar dan menjadi tanggungjawab Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun peruntukan tersebut tidak boleh dipakai bagi kematian seorang Islam kerana ianya bertentangan dengan syarat dan peraturan pewasiatan dalam Islam


Cara Membuat Permohonan Pembahagian Pusaka Kecil

Setiap permohonan untuk pembahagian pusaka kecil hendaklah dibuat dalam borang khas iaitu borang A.

Setiap permohonan mestilah disertakan dengan:

1. Bukti Kematian

a) Salinan surat perakuan kematian / permit menguburkan; atau
b) Surat sumpah oleh 2 orang saksi bebas yang menyaksikan jenazah dikebumikan ( bagi kematian semasa pendudukan Jepun / sebelumnya); atau
c) Perintah anggapan kematian yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi dalam keadaan seperti kematian tanpa kubur, hilang semasa pendudukan Jepun, Tragedi 13 Mei 1969, tragedi Muassem, dan
d) Perintah ini hanya boleh didapati selepas 7 tahun dari tarikh berlakunya kejadian.


2. Salinan Hakmilik

Salinan hakmilik yang diakui sah oleh pejabat tanah atau perakuan carian rasmi yang menunjukkan pegangan harta tak alih simati, surat perjanjian jualbeli bagi rumah yang belum ada hakmilik yang berasingan;


3. Salinan Dokumen Harta-Harta Alih:

Seperti salinan sijil saham, salinan buku simpanan, salinan penyata kwsp dan sebagainya (jika ada).

Siapakah yang berhak memohon?

Di antara mereka yang berhak memohon adalah seperti berikut:

a) Waris-waris simati seperti balu lelaki atau perempuan, anak laki-laki atau perempuan, ibu atau bapa, majlis agama Islam (Baitulmal) dan sebagainya;
b) Pembeli di bawah surat perjanjian jual beli yang sah;
c) Pemegang gadaian atau pemegang pajakan tanah simati;
d) Penghulu atau Pegawai Petempatan yang diarahkan oleh Pentadbir Tanah;
e) Amanah Raya Berhad.


Menghadiri pembicaraan.

a) Semua dokumen asal seperti bukti kematian, hakmilik tanah, kad pengenalan, surat beranak, surat nikah, bukti-bukti harta alih dan lain dokumen yang difikirkan perlu hendaklah dibawa semasa pembicaraan :
b) Semua pihak yang diminta hadir adalah dikehendaki hadir di hari pembicaraan.
c) Semua keterangan semasa pembicaraan hendaklah diberi secara bersumpah atau berikrar.

Saturday, March 21, 2009

Perkongsian Bijak Cemerlang (PBC)




Kursus Perkongsian Bijak Cemerlang ini sedang berlangsung di PLF Seberang Perak pada 21 hingga 22 Mac, 2009.


Kehadiran peserta ialah seramai 22 orang dan dikendalikan oleh PJS / PJE seramai 8 orang.


Pengisian PBC ini disampaikan oleh PJS dan mereka yang terpilih. Modul-modul ini menerapkan pelbagai ilmu MLM HPA kepada pengedar-pengedar baru untuk memulakan langkah yang tepat dan cepat untuk menjana pendapatan 5 angka dalam masa 5 bulan. Selain menyasarkan jualan produk-produk HPA di serata Malaysia, program ini turut mendedahkan keistimewaan herba-herba yang terdapat dalam produk unggul HPA iaitu Kopi Pracampuran Radix. Para peserta akan didedahkan dengan cara-cara membuat ‘Demo’ atau ‘Homeparty’ yang berkesan dan ini akan disusuli dengan perbincangan dalam kumpulan yang dikawal selia oleh PJS untuk mendapatkan strategi pemasaran produk dan pengurusan masa yang betul. Apa yang membuatkan modul-modul ini berbeza dengan perniagaan MLM yang lain adalah penerapan Islamiyah yang bermula dalam jiwa usahawan itu sendiri di mana ganjaran pasti menanti di hadapan di dunia mahupun di akhirat.

Tuesday, March 17, 2009

Kursus Jatidiri Kepimpinan WADIRA Terengganu



“Tiap - tiap seorang dari kamu adalah pemimpin dan akan diminta bertanggungjawab kepada orang-orang yang berada di bawah jagaannya. Seorang ketua negara bertanggungjawab ke atas rakyatnya dan akan disoal oleh Allah akan kepimpinannya. Seorang isteri bertanggungjawab di rumahnya dan akan disoal berkenaan tanggungjawabnya, seorang anak bertanggungjawab ke atas harta bapanya dan dia juga akan disoal, begitu juga seorang hamba atau yang bekerja dengan majikan, bertanggungjawab kepada majikannya, setiap kamu adalah pemimpin, dan bertanggungjawab kepada apa yang dipimpinnya”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Satu kursus kepimpinan telah diadakan pada 11 - 13 Mac 2009. Alhamdulillah program yang dirancang berlangsung dengan jayanya. Kursus Jatidiri Kepimpinan Wadira FELCRA Bhd Wilayah Timur ini dihadiri oleh 32 orang ahli WADIRA Terengganu yang mana mereka ini terdiri dari lingkungan pelbagai peringkat umur seawalnya 20 tahun hingga yang paling veteran berusia 77 tahun.

Para peserta yang hadir diberi pendedahan berdasarkan modul Kursus Kepimpinan sedia ada di PLFSP yang mana ia telah ditambah baik dari masa ke semasa. Jurulatih Utama yang menjadi nadi penggerak kursus ini ialah En. Rohaizat di samping dibantu oleh Penyelaras Program (Siti Haliza) dan Fasilitator yang lain (Jawyah, Ekin, Misha dan Azie). Kelancaran program ini juga dibantu oleh unit domestik, sajian dan unit aklu.

Kursus ini dikendalikan dengan medium paparan multimedia dan lagu latar untuk menarik perhatian peserta dalam menumpukan perjalanan kursus seperti yang dirancang. Tujuan utama (objektif) kursus ini ialah melahirkan pemimpin yang mempunyai jatidiri berwibawa, bertanggungjawab dan memupuk motivasi padu ke arah pemimpin dinamik.

Peserta Kursus Jatidiri Kepimpinan ini sangat bersemangat dan memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang sesi AMLAK, AKLU, AKTIF dan Refleksi. Antara aktiviti yang dilakukan oleh peserta sepanjang kursus berlangsung ialah :-

1) Xplorace - Peserta meredah paya dan membuat 'river crossing' di samping menyelesaikan task di check point tertentu. Task terakhir memerlukan peserta menyeberangi kolam dengan cara bersampan.

2) Spiritual Journey - sesi Alfa.

3) Paintball Wargames - 'Character Building'.

4) Senaman J-Robic, aktiviti penyegaran dan games.

5) Kejutan meraikan Hari Lahir seorang peserta kursus di akhir kursus.

6) Peserta mengakhiri kursus dengan membuat lawatan ke Kompleks Bersejarah Pasir Salak.

~ Para peserta (32 orang), Jurulatih & Fasilitator ~


~ Sesi Paintball Wargames : "Character Building" ~


~ Taklimat oleh Marshal sebelum games dimulakan ~


Monday, March 16, 2009

Maulidur Rasul 1430H (WAHDAH PEMANGKIN KHAIRA UMMAH)



Kita kini sedang menyambut ketibaan bulan Rabiul Awwal yang telah mencatatkan peristiwa penting dalam sejarah Islam. Di mana apabila tibanya bulan Rabi’ulawwal setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia sama-sama mengingati tarikh kelahiran junjungan besar nabi Muhammad S.A.W. Kelahiran dan kebangkitan junjungan besar nabi Muhammad S.A.W sebagai rasul akhir zaman telah membawa sinar bahagia kepada manusia dan rahmat kepada seluruh alam yang selama ini tenggelam dalam kejahilan dan hidup bermusuhan antara satu sama lain.

Yang kuat memerintah yang tidak berdaya, yang kaya memeras yang miskin, yang gagah menindas yang lemah, undang-undang terletak pada pandangan nafsu dan bukannya berdasarkan wahyu sehingga hidup manusia bercelaru hilang pedoman dan tempat rujukan untuk berlindung.

Sejarah telah mencatatkan kisah perjalanan pahit maung kehidupan Rasulullah S.A.W. di dalam tugasnya menyebarkan dakwah Islam yang mulia ini, baginda pernah dikeji, dihina, diugut, dibaling dengan batu sehingga berdarah, dipulau kaum keluarganya namun untuk meninggalkan amanah Allah ini tidak sekali-kali terlintas di dalam jiwanya.Justeru, Rasulullah S.A.W. yang diutuskan kepada umat manusia sebagai penghulu segala rasul, wajib kita sama-sama mentaatinya, dengan erti kata melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala tegahannya. Mudah-mudahan kita beroleh kecemerlangan dan kegemilangan hidup di dunia dan di akhirat.

Firman Allah dalam surah al-Hasyr ayat 7:

Maksudnya : “Dan apa jua suruhan yang di bawa oleh Rasulullah kepada kamu maka ambillah akan ia serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat azab siksanya (bagi orang-orang yang melanggar perintahnya)”.

Melalui cacatan sejarah juga kita dapati bagaimana kehidupan Rasulullulah S.A.W. yang sentiasa dijaga dan dipelihara oleh Allah S.W.T. bagi menjamin dakwahnya diterima oleh masyarakat. Walaupun baginda hidup dalam suasana masyarakat jahiliah yang sesat bertuhankan nafsu, namun baginda tidak terlibat dengan penyembahan berhala, minum arak, berjudi, malah tidak pernah berhibur dengan hiburan yang melalaikan. Begitu juga, baginda bersifat amanah sehingga digelar "al-Amin" serta sentiasa menjaga pergaulan dan percakapannya.

Baginda Raslulllah S.A.W. turut dididik dengan ujian bagi mematangkan fikiran dan tindakannya, di mana sejak kecil lagi baginda menjadi yatim piatu dengan kewafatan ayahanda dan bonda yang tercinta. Penjagaan baginda yang yatim piatu diambil alih oleh datuk kesayangannya Abdul Mutalib, tetapi Allah S.W.T. sekali lagi menguji baginda dengan kematian datuknya ketika baginda berusia lapan tahun dan penjagaan baginda berpindah kepada bapa saudaranya Abu Talib. Cuba kita bayangkan?. Bagaimana nabi yang bakal melaksanakan tugas dakwah Islam yang begitu besar dan berat telah diuji dengan kehilangan ahli keluarga ketika usianya yang masih kecil. Tetapi Allah maha penentu segala-galanya, di mana setiap sesuatu yang berlaku mempunyai hikmatnya yang tersendiri. Ujian kewafatan ahli keluarga tercinta telah mendidik baginda sebagai seorang yang cepat matang dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain.

Bersempena sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun, marilah kita sama-sama menghayati dan mencontohi ketabahan serta kesungguhan baginda dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan Islam merentasi dunia timur dan barat.

Sebagai seorang pemimpin agong baginda Rasulullah S.A.W. mempunyai pandangan jauh dan akal fikiran yang tajam serta semangat juang yang tinggi, kekuatan rohani yang mendalam, tabah dan keberanian menempuh berbagai cabaran dan dugaan yang perlu kita contohi, sama ada di waktu penghijrahannya dari kota Makkah ke kota Madinah atau selepasnya. Oleh yang demikian, umat Islam pada hari ini hendaklah bangun membina kekuatan rohani seimbang dengan kekuatan akal dan jasmani seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah S.A.W. dalam menyebar luas syiar Islam. Ini kerana setiap umat Islam pada hari ini adalah bertanggungjawab meninggikan dan mempertahankan agama Allah.

Di antara ciri-ciri dan sikap terpuji baginda Rasulullah S.A.W. yang perlu dicontohi :

1.
Sebagai Ketua Keluarga Yang Mulia Dan Bertanggungjawab

Dalam kesibukan baginda sebagai pemimpin negara, sebagai pendakwah, ketua tentera dan pelbagai urusan lainya tetapi baginda tidak pernah melupakan soal membina keluarga yang harmoni. Bagaimana baginda menunjukkan kaedah yang berkesan untuk melahirkan sebuah rumahtangga Islam sejati yang berjaya melahirkan generasi Islam yang bertakwa.

Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Tahrim ayat 6 :

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”


2. Sebagai Pemimpin Yang Bijaksana

Rasulullah S.A.W. merupakan seorang pemimpin yang ikhlas dalam memperjuangkan dan menegakkan syiar Islam. Peribadi baginda yang luhur, tidak ingin dipuji, tidak mementingkan diri sendiri, tidak mementingkan kebendaan serta mengejar pangkat dalam perjuangannya. Akhirnya baginda telah berjaya membentuk peribadi, masyarakat dan negara Islam yang unggul dan terbilang. Amat sesuai baginda menjadi contoh teladan yang paling baik.

Sabda baginda :" اِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاَقِ

"Maksudnya: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia ".


3. Memiliki Akhlak Yang Sempurna

Baginda diutuskan bersama akhlak yang sempurna sebagai asas panduan kepada setiap lapisan masyarakat. Hal ini dinyatakan oleh Allah S.W.T. di dalam al-Ahzab ayat 21 :

Maksudnya : “Demi sesungguhnya! Adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

Seterusnya baginda terkenal dengan ketegasan dalam perjuangan mempertahan agama Allah tanpa rasa takut dan menolak sebarang bentuk tawaran keduniaan. Seandainya sifat seumpama ini dapat kita laksanakan pastinya Islam bertambah maju dan setiasa disegani kawan mahupun lawan.

Dalam membina masyarakat yang harmoni pula baginda menggariskan beberapa panduan antaranya menanamkan sifat berkasih sayang, tolong menolong, menjaga hak kejiranan dan sebagainya demi menjaga dan membentuk masyarakat sejahtera.

Inilah antara sifat-sifat dan ketabahan baginda Rasulullah S.A.W. di dalam menegakkan agama yang benar dan diredhai Allah S.W.T. Maka bersempena sambutan Maulidur Rasul yang kita sambut pada tahun ini hendaklah dilakukan dengan hati yang benar-benar insaf dan ikhlas serta berbeza dengan cara sambutan Maulidur Rasul yang pernah dilakukan oleh Abu Lahab yang terlalu gembira menyambut kelahiran baginda dengan sanggup memerdekakan hamba kesayangannya serta menyembelih 100 ekor unta tetapi akhirnya apabila baginda menyatakan tentang kenabiannya serta dakwah Islam yang dibawa oleh baginda maka dialah orang paling keras menentang baginda sehingga kisahnya dirakamkan dalam surah al-Masad.

Oleh itu, kita perlu sedar dan insaf sambutan yang kita raikan mestilah selari dengan apa yang diucapkan, jangan kita bersungguh-sungguh memuji akhlak Rasulullah S.A.W. Tetapi akhlak remaja kita terbiar semakin hari semakin liar, tidak terkawal dan terlalu mementingkan hiburan sehingga mengabaikan tuntutan agama. Begitu juga, jangan kita hanya memuji baginda yang mengharamkan arak, judi dan riba sedangkan di sekeliling kita arak, penagihan dadah, pil khayal, ubat batuk dan segala macam yang memabukkan semakin manjadi-jadi seakan-akan tidak ada penghujungnya.

اعوذ بالله من الشيطان الرجيم

Maksudnya : “Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (arab) yang ummyyin, seorang rasul (nabi Muhammad) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaannya), dan membersihkan mereka (daripada iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hokum-hukum syari’at). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”
( Surah al-Jumuah ayat : 2 )

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ
وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْن

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Tentang PLFSP